|
Sunday, September 25, 2005
Perbandingan antara KOSMO! dan Harian Metro Ini janji Alangz. Versi penulisan kali ini lebih sedikit atas ganjaran buat anda yang mengundi Alangz di blog Dendam Perantau milik Bro Joe. Undi lagi ek :-)
Khamis, 21 September 2005; Alangz telah dijemput menghadiri satu seisi perbincangan berkumpulan oleh Bahagian Penyelidikan (Research) kumpulan NSTP. Ini adalah rentetan daripada e-mail yang Alangz terima daripada En. Mahamad Zaidi menerusi blog Alangz ini. Alhamdulillah, penulisan Alangz selama setahun setengah dalam blog ini rupanya ada yang memerhati. Alangz difahamkan bahawa tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji perbandingan antara akhbar KOSMO! dan akhbar Harian Metro yang dikelolakan oleh Bahagian Penyelidikan kumpulan NSTP. Ia bermula dari pukul 6.30 petang dan berlanjutan sehingga jam 10.20 malam bertempat di Hotel Armada, Petaling Jaya. Lebih kurang 10 orang responden telah dipilih dalam perbincangan kumpulan kami. Berbalik kepada isu yang dibangkitkan. Harian Metro merupakan akhbar petang yang diterbitkan oleh kumpulan NSTP pada 25 Mac 1991. (sumber; Harian Metro) Ia merupakan antara pelopor utama dalam edisi akhbar melayu terbitan petang. Sudah berusia lebih 15 tahun dan tidak hairanlah jika ia mendominasi pasaran akhbar terbitan petang melayu. Pada bulan Ogos 2005, pesaing akhbar Harian Metro; KOSMO! mula menemui pembaca di Lembah Klang. Jika dipandang pada sudut positif, kelahiran akhbar KOSMO! memberi pengguna lebih pilihan dan secara tidak langsung ia telah memecahkan monopoli akhbar Harian Metro. Cuma, yang membezakan antara keduanya adalah waktu terbitannya. Di awal penerbitan Harian Metro, ia diterbitkan dan mula diedarkan pada pembaca lebih kurang jam 10 pagi. Tapi kini, ia boleh didapati lebih awal. Manakala akhbar KOSMO! di sesetengah tempat, ianya hanya boleh didapati selepas jam 10 pagi. Selaku peneraju pasaran, Harian Metro sudah pasti mempunyai pembaca setianya. Namun, kehadiran KOSMO! sedikit sebanyak memberi impak kepada jumlah pembaca akhbar Harian Metro. Perbandingan Daripada penilaian dan perbincangan yang diusulkan pada hari itu, boleh dirumuskan masing-masing punyai kekuatannya sendiri. Namun, jika diminta mengulas dan rumusan dari pandangan mata Alangz, satu perkataan yang boleh menggambarkan identiti akhbar tersebut.
Harian Metro = Akhbar bercorak tabloid KOSMO! = Akhbar bercorak ilmiah
Dari pernyataan diatas, kita boleh membuat andaian dan kesimpulan sendiri dalam menilai sesuatu bahan bacaan untuk diri. Sesetengah orang lebih suka membaca akhbar bercorak tabloid, manakala ada yang suka membaca akhbar bercorak ilmiah. Bercerita tentang perbincangan berkumpulan itu. Memandangkan ini adalah perbincangan dan tidak melibatkan jawapan ‘Ya atau ‘Tidak’, pastinya banyak idea yang dilontarkan dan dapat dikongsi bersama. Satu perkataan alangz menjadikan ada di antara peserta kurang berpuas hati. Alangz telah secara tidak sengaja melontarkan perkataan ‘sampah’ kepada akhbar Harian Metro. Maaf. Tapi inilah perkataan yang selalu terkeluar dari mulut Alangz takala membaca akhbar Harian Metro. Dari sini sudah pasti pembaca dalam menilai akhbar mana yang menjadi pilihan Alangz bukan?... :-) Ingat, ini adalah pendapat Alangz. Pasti ia mengundang kontroversi takala artikel ini dibaca oleh golongan wartawan Harian Metro mahupun pembaca setia akhbar Harian Metro. Sekali lagi diulang, ini adalah pendapat peribadi Alangz. Pastinya pernyataan yang dilontarkan perlu disertakan dengan fakta-fakta bukan?... Antara corak penulisan yang tidak digemari Alangz ketika membaca akhbar Metro:
Pernyataan pertama. Ingin Alangz ulas mengenai tajuk utama akhbar Harian Metro pada hari khamis; 23 September 2005. Maaf, tidak dapat memberi ulasan untuk tajuk terkini kerana Alangz dapat akhbar ini secara percuma pada sesi perbincangan itu. Untuk membelinya?.. mmm… Tajuk utama : Pesta liar PD, mandi bogel di pantai PD, kaitkan ramai artis, bayar RM60, ‘hadiah cuti dengan Ratu Seks Melayu’ Sensasi bukan?... kalau dilihat dari tajuk sahaja, kita selalu dihidangkan di akhbar-akhbar tabloid yang dikeluarkan seminggu sekali, atau dua minggu sekali seperti akhbar tabloid Bacaria atau Mingguan Perdana. Rasanya, kalau benar-benar akhbar Harian Metro ingin digelar akhbar ilmiah, pastinya setiap cerita disusuli dengan tindakan dan cara penyelesaiannya. Maklumat tambahan untuk mengelakkan kejadian ini berulang perlu dibongkar dan dinyatakan dalam akhbar itu. Dalam sesi perbincangan itu, ada kalangan mereka yang sudah punyai anak dan menyatakan yang merekan malu untuk membaca akhbar itu di hadapan anak mereka yang berusia kurang dari 10 tahun. Ini adalah kerana sifat ingin tahu anak mereka yang acapkali bertanyakan kepada ayah mereka apa maksud ayat yang dibaca itu. Sudah menjadi lumrah, bahawa anak kecil punyai sifat ingin tahu dan akan senantiasa bertanya. Ada pembaca setia akhbar Harian Metro menyatakan bahawa ibu bapa perlu bersifat terbuka dan memberi tahu anak mereka maksud di sebalik tajuk utama itu. Ini merupakan antara pendidikan seks yang perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. Alangz sudah tentu tidak setuju dengan pernyataan ini. Maksud pesta seks?.. perlukah ia dinyatakan kepada anak yang berusia 9 tahun?.. ibu bapa sendiri tentu malu dan payah untuk bercerita mengenai hal yang mereka sendiri rasakan terlalu mengaibkan. Pernyataan kedua dirujuk. Tiada penyelesaian di dalam sesuatu berita yang disensasikan. Di sini letakkan cermin keikhlasan sesuatu akhbar sama ada mahu mengejar keuntungan sahaja ataupun bertindak sebagai pembimbing kepada pembaca. Dalam edisi hari khamis itu, tiada kelihatan cara-cara untuk mengatasi masalah ini. Apa nasihat terbaik untuk pembaca dari terjerumus kepada isu yang dibangkitkan. Bayangkan anda seorang ibu atau bapa kepada anak yang berusia 9 tahun, tanpa pengetahuan dan penuh keaiban dengan perilaku buruk masyarakat itu yang boleh disifatkan tidak bertamadun. Bagaimana caranya untuk anda menjelaskan perkara ini kepada anak anda? Cukupkah sekadar melafazkan perkataan ‘jangan buat benda nie… tak baik nak.’ ‘dorang nie jahat. Bertuhankan nafsu’. Atau, jika anda bijak menyusun ayat dengan panjang lebar menyatakan bahawa pesta seks merupakan sekumpulan lelaki dan perempuan melakukan adegan seks. Dengan erti kata lain seks berkumpulan. Perkara ini memang di luar etika kemanusiaan. Kebanyakan mereka yang melakukanya kerana kurang didikan agama. Perkara ini ditegah oleh mana-mana agama. Namun, budaya barat yang negatif acapkali disalahguna oleh masyarakat kita. Adakah anak anda yang berumur 9 tahun akan faham?... dan yang pasti mereka tentu akan meneruskan pertanyaan lain. Bukan Alangz menidakkan keperluan mengajar mereka tentang pendidikan seks. Cuma apa yang tertera di dada akhbar Harian Metro itu isunya terlalu berat untuk mereka yang berusia 9 tahun. Kalau kita hendak mengajar pendidikan seks, tentu ada tahap-tahapnya. Bukan dari darjah satu kita terus melompat ke tingkatan 5. Pernyataan ketiga. Kes mahkamah yang percakapan di mahkamah ditulis secara bulat-bulat. Kalau dilihat kepada laporan mahkamah, terlalu jelas (details) perjalanan kes itu. Semua percakapan hakim , peguam bela, peguam cara, saksi, tertuduh dan lain-lain dilaporkan secara bulat-bulat. Ternyata ini mensensasikan lagi isu itu. Bagaimana contoh pernyataan seperti ‘kesan air mani’, ‘meliwat’, ‘luar tabii’, ‘kemasukan zakar’, ‘kesan koyakan pada faraj’ dan lain-lain. Anak yang berusia 9 tahun, yang baru berjinak-jinak membaca surat khabar pastinya akan bertanya maksud pernyataan itu. Perlukah kita melompat kelas lagi?... Mungkin ini merupakan kelebihan akhbar Harian Metro. Membuat laporan percakapan secara jelas (details). Rasanya tidak perlu dilaporkan sebegitu rupa. Kalau anda benar-benar ikhlas, setelah tertuduh dijatuhi hukuman, buat laporan khas dan menyiarkan cara-cara untuk mengelakkan berlakunya kes tersebut dan penyelesaian untuk dijadikan pengajaran kepada pembaca. Dan yang terakhir; iklan nada dering- YA AMPUN!!! Penuh.. Memang Alangz tidak nafikan faktor ramai pembaca akan mendorong sesebuah syarikat untuk mengiklankan barangan mereka kepada pengguna menerusi akhbar tersebut. Namun, di dalam mengejar keuntungan di harap pihak Harian Metro lebih memikirkan tentang kesan pengiklanan ke atas pembaca. Untuk menjadi contoh, semasa anda menonton tv. Adakah anda gemar disajikan dengan iklan yang terlalu banyak? Mengapa Astro kurang iklan berbanding dengan syarikat penyedia saluran tv kita?... jawapannya mudah bukan?.. Astro merupakan saluran tv berbayar. Mereka sudah menjana pendapatan daripada penonton melalui langganan. Bagaimana pula akhbar?... Mereka juga sudah mendapat bayaran dari pembaca. Jadi mengapa perlu disajikan dengan iklan yang melampau banyak?... untuk meraih lebih keuntungan bukan?.. kos penerbitan tinggi?... mengapa strategi pemasaran akhbar The Sun boleh bertahan walaupun ia diedarkan secara percuma kepada pembaca?.. Memang diakui bahawa ia agak nipis, tapi kos penerbitannya dijana berdasarkan kepada pendapatan melalui pengiklanan. Di sini kita boleh lihat bahawa akhbar Harian Metro lebih memikirkan keuntungan tanpa memikirkan rintihan pembaca betapa banyaknya iklan-iklan ‘sampah’. Setuju dengan pendapat Alangz? Berbalik kita kepada akhbar KOSMO! Ya, memang Alangz akui bahawa akhbar ini banyak merubah corak sajian ke atas pembaca. Bersifat akhbar dan majalah atau lebih sinonim dengan perkataan makalah. Ini dapat dibuktikan pada penerbitan isu semasa dan juga KOSMO!2 yang lebih berat kepada majalah. Alangz tidak menyatakan bahawa ia terbaik. Tetapi motifnya sudah jelas. Punyai berita dan infomasi tambahan kepada pembaca. KOSMO! bertindak berani untuk melakukan kelainan kepada penerbitannya. Jika dinilai dari segi penulisan berita, KOSMO punyai kelemahan. Ini adalah kerana, berita yang disajikan boleh dikatakan ia dirumus untuk menjadi lebih ringkas dan padat. Mungkin bagi sesetengah orang lebih selesa dengan berita sebegini, namun ada jua yang kurang selesa. Bagi Alangz, yang penting dalam menyampaikan sesuatu berita, biarlah ia punyai motif dan berita yang ingin disampaikan diterima oleh pembaca. Sepertimana yang Alangz nyatakan, kelebihan KOSMO! adalah di sisipan KOSMO!2. Memang punyai kelainan dan artikel yang diutarakan tidak hanya terhenti disitu. Ia biasanya disusuli dengan artikel-artikel lain dan fakta-fakta. Tidak hairan sekiranya ia akan menjadi bahan rujukan untuk pelajar-pelajar dalam melaksanakan kertas kerja mereka. Kelemahan kedua KOSMO! boleh diukur melalui penerbitan. Berita. Kalau dinyatakan berita, sudah tentu kita mahu ia dengan segera. Informasi lebih baik dimasukkan di dalam minda seawal pagi bukan sesudah berita itu menjadi basi. Kalau boleh, tukarkan konsep penerbitan. Biarlah ia diterbitkan seawal pagi supaya pembaca dapat membacanya sebelum memulakan apa-apa kerja. Ini boleh mematangkan minda pembaca mengenai isu semasa yang berlangsung. Tidak terpinga-pinga ketika orang lain rancang mencanang isu semasa yang diketahui mereka menerusi akhbar lain. Input ke dalam minda lebih baik kiranya minda masih cergas. Jika pulang dari kerja, baru mahu menyelak akhbar pastinya minda sudah keletihan. Isu dalam KOSMO!2 yang lebih berat, pastinya hanya diselak sahaja. Sudah terjelas di mata, iklan nada dering kini mula memasuki akhbar KOSMO!. Sepertimana yang dijelaskan tadi, Alangz akui hasil pengiklanan boleh menambah keuntungan kepada syarikat penerbitan. Namun, harapan Alangz setinggi gunung agar akhbar KOSMO! tidak akan menjadi pusat lambakan iklan selepas ini. Jika terlalu banyak, sudah tentu pembaca tidak membaca dan secara terusan label ‘sampah’ memang kena pada iklan-iklan ini. Yang pasti, perbandingan di antara dua akhbar ini adalah dari pandangan Alangz selaku pembaca. Tidak terniat untuk menyakitkan mana-mana pihak dengan perumpaan atau kata-kata yang agak keterlaluan. Tapi, dalam kehidupan sekarang rakyat Malaysia amnya, sudah berani dan bersedia untuk menghadapi kenyataan. Yang penting, wartawan selaku penyedia berita-berita kepada akhbar atau saluran tv dan mana-mana media massa bersikap lebih tulus dan ikhlas dalam melaporkan sesuatu berita itu. Kita tidak akan ke mana-mana sekiranya laporan yang disajikan tidak menunjukan perkara sebenar. Kalau boleh, apa yang dibongkarkan disusuli dengan pernyataan mengenai fakta ataupun tip-tip untuk mengelak dari berulang. Jangan hanya mengejar kemewahan dalam mencari dan mensensasikan bahan bacaan umum kerana apa yang anda laporkan, kemungkinan akan mengenai batang hidung anda sekiranya ia berlaku di dalam anggota keluarga anda. Wartawan juga memainkan peranan yang amat penting untuk pembaca dalam mencari sesuatu jawapan kepada sesuatu perkara. Jika dilihat kemunculan blog-blog di alam siber ini sedikit sebanyak mencabar krebiliti seseorang wartawan itu dalam penyediaan bahan berita. Di dalam alam siber ini terutama blog, kita bebas bersuara. Tempias daripada itu juga, janganlah menyiarkan berita sensasi kononnya kebebasan menulis di dalam alam siber perlu dihadkan. Dunia kini tiada sempadan. Apapun boleh dilakukan dan ditulis dalam alam siber ini. Laporkanlah sesuatu berita itu dengan benar, ikhlas dan bertujuan mendidik anak bangsa. Cicakz…mmm.. lama tak kemaskini blog… hehehe.. kalu kemas slalu, takder ler serangga-serangga nak masuk… camner cicakz nak makan.. kalau ada lelangau lagi best… sensasi gitu.. :-p Posted by alangz at 9/25/2005 10:03:37 pm Comments (32) Tuesday, September 20, 2005
Mintak tolong pembaca!! Version2 :-) Entry kali nie pun aku buat sebab nak mintak tolong dari pembaca lagi. Tolong naikkan undi aku blog bro Joe. Ini adalah final round. Poll mungkin akan berterusan selama 2minggu (jangkaan). Aku bersungguh-sungguh mecanang dan meminta tolong dari sumer memember. Kalu boleh tiap-tiap harilah korang undi ek... poll nie boleh vote sekali dalam masa 24jam. Tapi kalu orang kat opis tu... pergilah kat pc member sebelah dan sebelah dan sebelah lagiii.... pastu undi alangz ekk.... pastu kalau balik rumah.... yang ada internet access tu... undilah lagi.... pleaseee...
@ www.joeperantau.blogspot.com
Mekasihhh...
Cicakzz... anyway kalu korang masuk jer blog Bro Joe nie... korang dah membantu dalam menjayakan "Kempen Tabung Ayam" dia. Setiap hit dikira 1sen... wang itu akan/mungkin didermakan kepada mereka yang memerlukan..... kan baik tu.... surfing dan dalam masa yang sama korang membantu tabung tu naik.... Posted by alangz at 9/20/2005 10:50:19 pm Make a comment Monday, September 12, 2005
Mintak tolong pembaca!! Entry aku kali ini tiada kaitan dengan isu semasa. Lebih kepada kepentingan aku sendiri. Ini adalah entry untuk meraih undi. Kepada pembaca yang baik budiman, yang selalu bertandang, yang menyokong aku dari belakang, yang suker aku, yang baik2 belaka.... AFUNDI aku ek. :-) Sebenarnya Afundi party tupperware ini adalah sempena genap setahun blog bro Joeperantau. So, dia bermurah hati untuk memberi hadiah kepada beberapa pengunjung setia blog dia. Aku antara calon yang bernasib baik. Hadiah dia?... alangz pun tak tahu lagi. Tapi, bunyinya macam best bangat!!!... lagipun dari US kan... [ ok tak ayat nie bro Joe?.. :-) ] Marilah meriahkan undi tu... aku merayu kat korang sumer. Jadi, tanpa sokongan korang sumer pasti aku tak dapat apa2. Untuk itu, sekali lagi aku merayu undi nie... hehehe... Apa yang korang kena tolong aku... 1. Pergi ke blog bro Joe <klik sini> 2. Pastu korang gi kat bawah tagboard (sebelah kanan) 3. Pastu korang klik kat nama alangz 4. Pastu klik 'Vote!' Korang hanya boleh mengundi sekali sehari (berdasarkan IP komputer korang, kalu ada IP lain2.. undi argh lagi ek...). Kalau korang setia, undi ler tiap2 hari untuk aku... :-) pagi kat opis, malam kat umah lak.. upah korang?... nanti aku makin rajin masukkan entry baru hehehe... P/S: Baru dapat tahu leh undi lebih dalam sehari tapi need few hours..
Cicakz.. hehehe.. 1st time jadi peraih undi.. huhuhu... yang best dalam alam cyber.... Posted by alangz at 9/12/2005 11:30:43 am Comments (2) Monday, September 05, 2005
Apa yang istimewanya Mawi AF3?.. “Apa yang bagus sangat Mawi tu sampai orang cakap pasal dia?”... Soalan yang acapkali berkumandang apabila lagu nyanyiannya diputarkan; kelibatannya kelihatan di media Itulah hebatnya pukulan ‘aura Mawi’ dalam dunia hiburan kebelakangan ini. Dalam tempoh yang cukup singkat, nama Asmawi Bin Ani telah meniti di bibir rakyat negara ini khususnya; serta tidak kurang popularnya di negara Rasanya semua sudah sedia maklum yang beliau berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Sebelum ini, beliau hanyalah seorang insan biasa yang mungkin tidak dipedulikan kehadirannya. Tapi kini, tanya sahaja siapa; dari kanak-kanak kecil sehingga Perdana Menteri kita, beliau sudah dikenali. Faktor penarik Mawi Berbalik kepada isu yang dibangkitkan; apa yang istimewanya Mawi. Kalau dari segi bahasa hiburan, kita sudah di‘momok’kan dengan ungkapan ‘X-factor’. Dari segi pemahaman, ‘X-factor’ merupakan daya penarik yang ada dalam diri seseorang untuk menghubungkan diri mereka kepada penonton yang mana ianya mampu membuat seseorang atau penonton itu benar-benar menghayati setiap kata-kata, mahupun perbuatan artis itu. Perlakuan ini amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Kembali kepada bahasa hiburan; X-factor. Itulah jawapannya. Mungkin ianya terlalu mudah untuk dinyatakan. Kalau kita menjana minda lebih dalam lagi, daya tarikan ini pasti berpautan dengan corak dan tingkah laku pemiliknya sendiri. Mawi; seorang insan yang bersahaja. Bersikap lurus. Berbicara dari hati dengan ikhlas. Itulah yang terlihat dek mata kita. Kalau dilihat dari rakaman video semasa beliau mula-mula diberitahu penerimaan beliau untuk menyertai rancangan Akademi Fantasi 3, ternyata keadaan fizikal rumah orang tua beliau, ianya boleh digolongkan dalam golongan sederhana. Rasanya penduduk di kawasan Felda sedia maklum akan keadaan keluarga Mawi ini. Latar belakang agama beliau juga boleh dibanggakan. Pernah menjuarai Tilawah Al-Quran di peringkat Negeri Johor dan juga ada ditawarkan menjadi Bilal di Masjid Felda Taib Andak, Kulai. Pemahamannya dalam ilmu agama juga boleh dikategorikan sebagai tinggi. Kemahiran bersilat juga satu faktor penarik beliau. Berapa kerat anak melayu kini yang gemar menghabiskan aktiviti lapang dengan seni silat ini? Aku tidak nafikan kemodenan dan kecanggihan alatan terkini menyebabkan anak melayu khususnya di bandar semakin melupai seni pertahan diri melayu itu. Kita dihidangkan dengan pelbagai alatan permainan ataupun hiburan yang menyebabkan dasar pemikiran meminggirkan seni silat melayu ini. Tidak keterlaluan aku katakan bahawa ada di kalangan kita yang menganggap seni silat itu sudah lapuk dan tidak ada faedahnya dipelajari kerana kecanggihan alatan sekarang boleh menangkis sebarang bentuk perlindungan diri. Percaturan dunia dalam penentuan peperangan sekarang lebih berasaskan kepada idealogi politik dan percaturan minda. Perwatakan beliau juga amat jelas terlihat akan keikhlasan dan tiada niat terselindung dalam melontarkan kata-kata. Boleh dikatakan acapkali soalan diajukan kepada beliau, beliau seboleh-bolehnya menjawap secara terangan dan bersifat jujur. Daripada gurapan penulisan aku ini, mungkin anda semua menyatakan yang aku antara kalangan fanatik Mawi. Aku bukan begitu fanatik. Cuma, kehadiran beliau mungkin boleh dikatakan antara barisan penghibur pelapis yang ditunggu oleh rakyat Pernyataan aku ini disokong berdasarkan fakta-fakta diatas. Memang aku tidak nafikan kehadiran penghibur baru dalam dunia hiburan ini bak cendawan selepas hujan. Tapi, kita seakan-akan sudah lali dihidangkan dengan artis yang antaranya boleh dipertikaikan kelakuan akhlaknya. Kebanyakan dari mereka sudah lali dengan pub/ kelab malam. Begitu juga dengan penampilan diri yang lebih ke arah kebaratan. Untuk itu, tiada ‘model ikutan’ atau role model yang boleh dibanggakan. Ditekankan di sini yang pernyataan aku ini tidak kepada semua artis, tapi segelintir. Jadi, dengan munculnya Mawi yang punya ciri-ciri ‘model ikutan’ ini, tidak hairanlah kehadirannya beliau menjadi kegilaan bukan sahaja kepada kanak-kanak, anak remaja, ibu bapa, pakcik-makcik, malah atuk dan nenek. Dan lebih membanggakan, keputusan kerajaan negeri pimpinan Pas menjemput Mawi bagi menjayakan Konsert Amal Tautan Kasih pada 30 September ini jelas membuktikan sesuatu yang mengejutkan! Hal ini adalah kerana Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri sudah `jatuh hati' kepada Mawi yang dianggapnya bukan daripada kelompok yang suka hanyut tetapi ``dia tahu harga diri dan tahu agamanya.'' Mawi dilihat oleh Nik Aziz sebagai mempunyai pendirian sendiri, tidak terpengaruh dengan artis-artis dari Eropah yang menggambarkan imej duniawi. (Utusan Faktor-faktor penarik Mawi ini harap dapat dipertahankan oleh Mawi. Dan satu cabaran besar menanti beliau sekiranya beliau terbabas dalam penitian dunia hiburan yang terlalu banyak ranjau dan durinya. Banyak suara-suara akan berbunyi kiranya beliau melakukan barang sedikit kesilapan. Harap beliau akan berjaya dalam menempuh cabaran dunia baru ini. Pasti ada yang akan mempertikaikan penulisan aku ini. Yang pentingnya aku punyai pandangan sendiri tentang Mawi dan punyai hak untuk meluahkan apa yang berada di dalam minda ini. Mmmm…. Cicakz pun teringin ler nak masuk rancangan realiti TV…haaa!!!... boleh buat satu lagi rancangan baru untuk gantikan rancangan yang cam hampeh tuuu… kita namakan “Mencari Cicakzz”… ahakzzz…. Posted by alangz at 9/5/2005 9:06:49 am Make a comment Monday, August 29, 2005
Menukar persepsi orang Melayu Petikan dari akhbar Mingguan Malaysia antara petikan yang telah lama bersarang dalam post aku yang aku simpan sebagai draft. Kononnya kalau ada masa ingin aku memberi sedikit dua ulasan. Namun bebanan tugas yang terlampau, menyebabkan aku semakin kusut dan tidak mampu untuk mengarang.
MUKADIMAH Kepada Pak Ungku, peratusan pegangan ekuiti itu bukanlah ukuran keadaan ekonomi orang Melayu yang sebenar. Apa yang lebih penting kepada beliau ialah pembasmian kemiskinan masyarakat desa yang rata-ratanya masih jauh ketinggalan. ``Kalau kita menambahkan peratusan saham orang Melayu, masalah kita tetap tidak selesai juga,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dalam satu pertemuan di rumahnya, pagi Khamis lalu. Wawancara itu diatur khusus untuk membincangkan tujuh perkara agenda Melayu yang dibangkitkan oleh Pak Ungku dalam ucapan balasnya selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Selasa lalu. Dalam perbincangan itu, Pak Ungku mengupas tentang betapa pentingnya usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu dalam lonjakan akhir menjelang Wawasan 2020 ini bermula dengan pendekatan mengubah persepsi dan pandangan dunia mereka. Beliau menyebut tentang pentingnya menanam semangat berusaha serta mengubah sikap orang Melayu kepada pendidikan, kesihatan, pemakanan dan amalan rasuah. ``Kalau kita dapat menyelesaikan masalah-masalah ini, insya-Allah kita akan menyelesaikan masalah utama orang Melayu,'' katanya. Pak Ungku tidak menyembunyikan kekagumannya kepada Pendeta Za'ba yang kepadanya banyak meninggalkan buah pemikiran yang cukup bermakna, yang boleh menjadi kompas dan peta kepada orang Melayu untuk menjayakan agenda penting itu. Beliau hanya ketawa kecil apabila diingatkan bahawa pandangan-pandangannya itu sudah acap kali disuarakannya sebelum ini termasuk dalam satu wawancara dengan majalah Mastika keluaran September 1987, kira-kira 28 bulan sebelum DEB tamat dulu. ``Buah pemikiran saya ini macam biji tasbih yang terikat pada seutas benang. Biji tasbihnya boleh berkurang atau bertambah tetapi benangnya tetap satu,'' katanya. MINGGUAN: Bagaimanakah hendak mengisi semangat DEB yang dicetuskan semula ini? UNGKU AZIZ: Kita harus memikirkan kerangka pengisiannya. Semua masalah orang Melayu yang masih ada pada hari ini ada kaitannya dengan kaedah kita berfikir. Oleh kerana cara berfikir kita tidak betullah maka kita masih ada masalah-masalah yang sepatutnya sudah boleh diselesaikan 10 atau 20 tahun lalu. Kita harus melihat konteks yang melahirkan dasar itu. DEB bukan wujud macam cendawan tumbuh di tengah padang. Ia diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan serta mengagihkan kekayaan dengan pertumbuhan. Kita harus memikirkan kerangka pengisian agenda Melayu ini dalam konteksnya. Kita harus berfikir semula dalam konteks itu. Apakah yang harus kita lakukan? UNGKU AZIZ: Kita harus menoleh ke belakang melihat sejarah dan latar belakang DEB. Kita harus melihat semula apakah yang telah kita lakukan untuk mencapai dua matlamat itu. Kepada saya, tidak begitu penting sama ada orang Melayu mencapai pemilikan ekuiti 18 peratus, 30 peratus atau 50 peratus sekali pun. Ini kerana orang Melayu secara umumnya masih lagi masyarakat luar bandar. Kalau kita hendak mengayakan orang kaya di bandar, baguslah tetapi saya percaya itu bukan masalah sebenar yang kita hadapi. Kalau kita menambahkan peratusan saham orang Melayu, masalah kita tetap tidak selesai juga. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah menambahkan pendapatan orang Melayu secara keseluruhan terutamanya masyarakat di desa. Ini sesuatu yang tidak berjaya kita lakukan selama ini. Bagaimana kita boleh menambahkan pendapatan mereka? UNGKU AZIZ: Kalau kita perhatikan kenyataan-kenyataan pemimpin dalam tempoh setahun yang lalu masalah yang paling besar ialah mengubah sikap orang Melayu. Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam akhbar (Khamis lalu) juga menegur sikap pelajar Melayu yang tidak berminat memperbaiki kelemahan diri. Kita selalu mendengar rungutan dan keluhan tetapi kita masih tidak dapat melihat apakah usaha yang dilakukan untuk mengubah sikap orang Melayu. Kita tidak pernah memikirkan kemungkinan mengubah sikap dan persepsi orang. Kita tidak memahami bagaimana orang Melayu melihat masalah yang mereka hadapi. Ini bukan soal apa yang saya atau Perdana Menteri fikirkan tetapi apakah yang ada dalam fikiran orang Melayu itu sendiri. Apa sebab misalnya para pelajar Melayu tidak mahu belajar tetapi lebih suka melepak? Apakah sikap mereka kepada pendidikan? Kita harus mengubah persepsi atau tanggapan orang Melayu yang seterusnya akan menjadikan mereka seperti yang dikatakan oleh Pendeta Za'ba macam orang Cina - kiasu, aktif, gila kaya, belajar bersungguh-sungguh. Sifat-sifat itu boleh ada pada orang Melayu sekiranya kita dapat membentuk tanggapan baru di kalangan orang Melayu terhadap keadaan dirinya dan persekitarannya. Hendak mencari tanggapan baru itulah yang harus menjadi asasnya dalam usaha kita hendak mengubah orang Melayu. Kita harus memahami persepsi dan world view mereka sekarang dan kemudian mengubahnya secara sistematik. Kita harus membentuk satu pandangan hidup yang baru di kalangan orang Melayu, untuk melihat dunia yang baru dengan cara yang baru. Apakah orang Melayu belum melihat dunia baru dengan cara baru sekarang? UNGKU AZIZ: Ada, bukan tidak ada. Akademi Fantasia adalah satu cara baru mereka berfikir. Dulu mereka tidak melompat-lompat, berpeluk-peluk dan menangis seperti sekarang. Mereka berubah cumanya ia tidak memberikan manfaat kepada negara. Itu sebabnya saya rasa sekarang ini kita kena memikirkan cara yang lebih konkrit, praktikal dan pragmatik untuk mengubah tanggapan orang Melayu daripada cara lama. Saya bukan hendak mengatakan orang Melayu tidak rajin. Soalnya ialah bagaimana kita hendak menjadikan mereka lebih rajin. Apakah perubahan minda dan persepsi yang perlu dibuat? Kita perlu memberikan fokus kepada pendidikan. Orang barangkali agak terkeliru kerana dari semasa ke semasa ada `ahli silap mata baru yang muncul dengan keajaiban baru' - tidak payah belajar tiga tahun, empat tahun lagi bagus, tidak payah belajar bahasa Inggeris, belajar dua mata pelajaran saja Sains dan Matematik boleh pandai bahasa Inggeris. Kita kemudian tertanya-tanya kenapa orang Melayu keliru. Mereka keliru kerana tidak ada kaedah yang sistematik untuk mengubah persepsi mereka. Bagaimana hendak mengubah sikap, pandangan hidup dan persepsi itu? UNGKU AZIZ: Apa yang saya katakan tadi ialah cara berfikir. Kalau kita teliti ucapan para pemimpin, mereka banyak membuat kenyataan normatif - buatlah begitu, buatlah begini. Kenyataan-kenyataan normatif ini tidak memberikan apa-apa makna dalam mengubah perenggu minda. Ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Kita harus berbalik kepada pemikiran positif iaitu menangani dunia nyata secara real. Saya rasa kebanyakan orang tidak berani dan tidak berpengalaman membuat kenyataan yang positif. Orang muda hari ini mencipta dunia fantasi; mereka gembira duduk dalam kepompong fantasi itu. Mereka terbuai dengan segala yang indah tetapi akhirnya jadi malas, hanya hendak berseronok-seronok dan tidak agresif mahukan kejayaan. Kenapa orang Melayu tidak boleh jadi seperti itu? Kita perlu mengubah orang Melayu daripada tidak kiasu kepada lebih kiasu seperti orang Cina. Apakah orang Melayu tidak boleh jadi seperti orang Cina? UNGKU AZIZ: Boleh, kenapa tidak boleh? Kelemahan kita ialah kita tidak tahu bagaimana hendak mengubah minda mereka. Saya menghabiskan masa bertahun-tahun memikirkan tentang hal ini. Lagi saya baca buku Pendeta Za'ba, lagi saya yakin bahawa semua ini bergantung kepada persepsi orang Melayu - bagaimana mereka melihat diri sendiri, masyarakat malah Allah. Orang Melayu ada persepsi bahawa mereka boleh mengupah orang lain berdoa untuk mereka. Pendeta Za'ba mengatakan bahawa persepsi itu salah. Beliau mengatakan bahawa kita sendiri yang harus beramal. Malah beliau dengan tegas dan berani mengatakan juga bahawa Allah tidak akan mendengar. Rasulullah juga tidak suka kepada orang yang tidak berusaha tetapi lebih gemar meminta-minta. Dalam hendak membetulkan persepsi itu, kita harus kembali kepada Allah dan dari situ kita melihat masalah-masalah yang kita hadapi, baik dalam pendidikan, keusahawanan dan sebagainya. Di mana silap kita sedangkan usaha itu sudah bermula sejak tahun 1970-an? UNGKU AZIZ: Saya melihat ada tiga sebab kenapa usaha membasmi kemiskinan masih tidak berjaya. Pertama, kadar produktiviti orang Melayu secara relatifnya masih lagi rendah. Kalau orang Melayu dan orang Cina sama-sama bekerja selama sejam, produktiviti orang Cina hasilnya tiga hingga sepuluh kali lebih tinggi. Malah pekerja pendatang asing tanpa izin yang tidak ada apa-apa kemahiran pun mempunyai produktiviti yang lebih tinggi. Mereka boleh dapat antara RM40 hingga RM70 sehari tetapi orang kampung termasuk graduan menganggur payah hendak raih RM400 sebulan. Kita harus bertanya apakah graduan menganggur tidak boleh bina bangunan atau mengecat rumah? Kedua, orang Melayu terperangkap dalam sistem monopoli dan monopsony iaitu satu penjual dan satu pembeli yang menindas mereka. Sekiranya mereka menjual padi, getah atau ikan di desa kita boleh melihat kewujudan peraih Cina yang mengawal pasaran. Peraih ini tidak ke laut tetapi menunggu nelayan balik di jeti. Mereka menentukan harga, menentukan apa yang akan diperoleh oleh nelayan tadi. Keadaan dulu dan sekarang tidak banyak berbeza. Biasanya di setiap kampung ada sebuah atau dua buah kedai runcit tempat semua orang membeli barang, dan boleh berhutang. Apabila hutang tidak boleh dibayar orang kampung menggadaikan tanah sehingga akhirnya menjadi milik orang lain. Keadaan ini mewujudkan persekitaran yang menindas. Dalam persekitaran yang seperti ini orang Melayu yang bekerja keras pun akan berasa susah hendak naik kerana sistem itu akan sentiasa menindas mereka. Saya fikir kerajaan lebih peka tentang keadaan ini, dan berusaha untuk mengatasinya. Ia memperkenalkan pasar tani, misalnya. Tetapi kalau kita lihat di pasar tani sekarang ini pun orang Melayu hanya menghantar hasil jualan saja. Itu sebabnya saya katakan ini adalah satu sistem sosioekonomi yang mengekalkan golongan desa di bawah penindasan yang tidak ketara. Apakah penindasan itu disengajakan? UNGKU AZIZ: Orang Cina bukannya isytihar ``kami mahu menindas orang Melayu'', tidak. Mereka sebenarnya melihat peluang yang orang Melayu tidak nampak. Mereka buat tanpa niat mahu merosakkan orang lain. Orang Cina ada sikap kiasu, mahu sentiasa menang, tetapi bukannya hendak memusnahkan orang lain. Kalau orang Melayu mahu menandingi mereka, kita harus ada sikap kiasu. Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan orang Cina. Kita harus salahkan orang Melayu. Kita mesti berbalik semula kepada apa yang ditekankan oleh Pendeta Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri. Tetapi bukankah kerajaan juga ada pelbagai program untuk mengatasi masalah-masalah ini? UNGKU AZIZ: Inilah perkara ketiga yang saya lihat mewujudkan kemiskinan yang berterusan di kalangan masyarakat desa iaitu fenomena terbiar. Kalau kita melihat sesetengah program kerajaan dalam bidang pertanian, perikanan, industri kecil dan sebagainya ia hangat-hangat tahi ayam. Upacara pembukaannya meriah tetapi selepas itu orang hilang minat dan memperkenalkan program baru. Apa sudah jadi kepada program satu wilayah satu produk (sawari) yang dilancarkan beberapa tahun lalu, misalnya? Ia baik dari segi teorinya tetapi tidak berjalan. Kita sebenarnya suka sangat kepada idea baru tetapi selepas satu tempoh kita jadi hangat-hangat tahi ayam. Ini psikologi yang ada di kalangan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat. Masalah berterusan kerana kegagalan pihak berkuasa iaitu birokrat. Ini satu lagi perenggu minda yang perlu kita ubah. Pak Ungku juga membangkitkan tentang perlunya dasar pendidikan dikaji semula. Kenapa? UNGKU AZIZ: Ini mungkin satu isu yang paling tengkarah (kontroversial). Dasar yang ada sekarang tebuk-tebuk, ibarat tikus membaiki labu. Sebelum ini tempoh pengajian di universiti empat tahun kemudian ditukar kepada tiga tahun dan sekarang hendak diubah semula kepada empat tahun. Saya tidak tahu apa justifikasinya. Apakah perubahan itu akan menambahkan kemahiran para pelajar kita? Saya melihat tidak ada debat yang menyeluruh sebelum sesuatu perubahan dibuat. Saya tidak nampak komentar terhadap cadangan itu sebaliknya apabila diputuskan tukar, semua orang menurut tanpa banyak soal. Malah ada juga kecenderungan supaya sesetengah perkara tidak dibincangkan. Tentang dasar bahasa begitu juga. Orang Melayu mesti pandai bahasa Melayu, bukannya bahasa rojak. Kalau orang bahasanya rojak, pemikirannya juga rojak. Kita juga harus mengajar bahasa Melayu secara sistematik, macam di Indonesia. Dari segi perpaduan, saya tertanya bilakah warganegara Malaysia harus bermula dan seterusnya fasih dalam satu bahasa yang boleh difahami oleh seluruh rakyat? Kita juga harus menguasai bahasa Inggeris demi pembangunan ekonomi masa depan. Kita harus ajar para pelajar dari awal, dan bukannya tiba-tiba menukar arah dengan menyuruh mereka belajar Sains dan Matematik. Kita perkenalkan pengajian bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik seolah-olahnya bahasa boleh dipelajari melalui dua mata pelajaran itu. Kalau hendak belajar bahasa Inggeris, belajar bahasa Inggeris - nahu, ayat dan stailnya. Inilah yang saya katakan tebuk-tebuk itu tadi. Pada akhirnya hamba Allah budak Melayu tadi hilang minat untuk belajar kerana tidak menguasai bahasa dan kerana kita tidak mengajar mereka cara untuk belajar. Sudahlah bahasa Melayu tidak begitu faham dan kemudian disuruh belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Pengkajian semula ini mungkin mengambil masa tetapi kita mesti berani melakukannya. Ia mungkin boleh ditugaskan kepada sekumpulan pakar yang harus menyiapkannya dalam masa setahun. Mereka harus melihat dari peringkat tadika sehingga ke ijazah kedoktoran. Sekarang ini kita seperti tikus membaiki labu. Bagaimanakah Pak Ungku melihat sikap orang Melayu kepada pendidikan? UNGKU AZIZ: Anak muda Melayu harus ada dalam diri mereka rasa cinta kepada ilmu pengetahuan. Hidup ini muda hanya sekali dan ia harus dipenuhi dengan hal-hal yang berfaedah untuk bekalan masa depan. Tetapi itu tidak bermakna apabila sudah dewasa dan tua mereka harus berhenti belajar. Kita harus ada ada rasa cinta kepada ilmu sepanjang hayat. Belajar, belajar dan terus belajar. Apa salahnya dengan pembelajaran sepanjang hayat? Itu kepada saya lebih penting daripada menonton segala sampah yang ada di televisyen. Kalau hendak menonton televisyen setengah jam sehari tidak mengapa tetapi masa selebihnya harus digunakan untuk menambah ilmu. Kita harus ada sikap cintakan ilmu sama seperti orang Cina dan Jepun. Mereka ada, orang Melayu tidak ada. Itu masalahnya. Kita harus mengubah tanggapan mereka sehingga ada minat dan kesungguhan gila hendak belajar. Apakah lagi yang perlu diubah tentang orang Melayu? UNGKU AZIZ: Kesihatan sama pentingnya dengan pelajaran. Kita sekarang tidak memberikan makanan yang berzat dan seimbang kepada anak-anak. Pemakanan yang baik itu bukan saja akan mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak. Saya sudah suarakan hal ini berkali-kali, tentang pentingnya kita mengadakan makanan tengah hari yang seimbang di sekolah. United Kingdom ada program seumpama itu. Malah sekolah-sekolah Cina di negara ini pun ada program yang sama. Apakah kita tidak boleh adakan program seperti itu? Apakah kita terlalu miskin? Lihatlah bangunan-bangunan yang kita bina. Kita bukan miskin tetapi kita akan jadi miskin sekiranya tidak berjaga-jaga. Kita boleh lakukan program ini kerana ia bukannya mahal. Apa yang penting ialah pengurusan yang baik. Secara khususnya, apakah perangai orang Melayu yang harus diubah kalau kita mahu menjayakan agenda pembangunan bangsa ini? UNGKU AZIZ: Orang Melayu harus ada semangat berusaha. Kita harus mengubah orang Melayu menjadi rajin sama seperti orang Jepun dan Cina. Kita harus menyelesaikan masalah usahawan Melayu yang tidak begitu rajin dan tekun supaya mereka boleh berjaya dalam persaingan. Peniaga Melayu juga kurang perkasa dan berani menanggung risiko. Ini masalah orang Melayu yang sangat besar. Orang Melayu harus ada sikap berani menanggung risiko. Mereka bukan takut sebenarnya tetapi tidak bersedia. Tetapi bak kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Mesti berani. Lihat saja peniaga Cina yang berani naik dan turun. Saya percaya dalam setiap seorang peniaga Cina yang berjaya ada berpuluh-puluh lagi yang tidak. Tetapi mereka tidak henti-henti berusaha. Dalam ucapan di UM itu, Pak Ungku turut membangkitkan soal rasuah. UNGKU AZIZ: Ini satu lagi persepsi orang Melayu yang harus diubah. Orang Melayu kalau makan rasuah dia rasa tidak berdosa. Orang Melayu mesti ada rasa berdosa. Akibatnya rasuah menjadi lumrah dan merebak seperti barah sehinggakan orang tidak sedar mereka melakukan rasuah. Kita harus mula menekankan kepada orang Melayu bahawa rasuah itu satu dosa. Tidak kiralah dosa kecil atau besar, pokoknya ia satu dosa. Rasuah, kecil atau besar, berdosa. Apakah jalan keselamatan yang ada bagi orang Melayu? UNGKU AZIZ: Kalau pemimpin berjaya memulakan trend perubahan tanggapan atau perenggu minda, saya yakin ia akan meningkat dan berkembang dengan menyeluruh. Ini sama macam hendak naik basikal; mula-mula payah sedikit tetapi kemudian ia lajak sendiri dan laju. Tetapi kita selalu dengar tentang keluhan termasuk di kalangan pemimpin tentang sukarnya menukar sikap orang Melayu. UNGKU AZIZ: Kalau kita terus mengatakan susah, ia akan jadi susah. Ini bergantung kepada persepsi kita sendiri. Kalau kita yakin boleh berjaya, kita boleh berjaya. Senang atau susah sebenarnya menukar sikap orang Melayu? UNGKU AZIZ: Kita tidak pernah berbincang tentang usaha mengubah sikap orang Melayu. Apa yang selalu kita dengar ialah kesukaran hendak mengubahnya. Kalau kita selalu penuh dengan negatif, ia akan jadi negatif. Kalau sebahagian besar pemimpin Melayu bersetuju bahawa perlu ada perubahan dan jelas tentang perubahan yang harus dilakukan, tidak susah melakukannya. Apa yang penting mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang pasti berbangkit sepanjang usaha itu. Cabaran-cabaran itu maksud saya ialah keengganan orang untuk menerima perubahan. Dalam fikiran orang Melayu sekarang tertanam tanggapan orang lain kononnya lebih baik. Sesetengah mereka mungkin ada rasa rendah diri. UNGKU AZIZ: Saya setuju. Perasaan rendah diri itu sudah menyerap sebati dalam diri mereka. Apa yang harus kita lakukan sekarang ialah mengubah tanggapan mereka tentang kemampuan diri sendiri. Kita bukannya hendak orang Melayu memiliki superiority complex atau keyakinan yang berlebihan sehingga memperkecil-kecilkan orang lain. Kita hanya perlu meningkatkan keyakinan diri orang Melayu. Kita harus ingat pesan Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri. Kenapa orang Melayu tidak kiasu? UNGKU AZIZ: Itulah yang telah disuarakan oleh Za'ba. Beliau telah melihat keadaan ini sejak tahun 1920-an lagi. Beliau merupakan orang Melayu pertama yang mengupas tentang keadaan ekonomi orang Melayu. Pemikir-pemikir Melayu lain ketika itu menuduh orang Melayu malas tetapi Za'ba menunjukkan kerana kemiskinanlah orang Melayu jadi begitu. Itu sebabnya kita harus memberikan orang Melayu peluang kerana pada asasnya mereka handicap, padang permainannya tidak rata. Ini demi keadilan. Itulah persoalan yang dibangkitkan bukan saja oleh orang bukan Melayu malah sesetengah orang Melayu. Mereka merasakan semangat DEB itu tidak adil malah menjejaskan maruah orang Melayu? UNGKU AZIZ: Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Dalam masalah kesihatan misalnya, kalau fizikal tidak kuat dan mental tidak peka kerana tidak mendapat pemakanan yang berzat dan seimbang akibat kemiskinan, bagaimana orang Melayu hendak berjaya? Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action ini, jika tidak akhirnya orang Melayu akan mengalah. Saya melihat adalah sesuatu yang sangat mustahak untuk kita ada dasar ini demi survival orang Melayu. Ada orang merasakan lagi dibantu, lagi orang Melayu akan lebih bergantung dan malas. UNGKU AZIZ: Sindrom subsidi? Kita mesti membezakan antara sindrom subsidi dengan affirmative action. Subsidi seperti cek kosong yang diberi percuma adalah sesuatu yang bodoh sebaliknya tanpa affirmative action orang Melayu tidak akan dapat naik. Ini kerana orang Melayu sudah terkebelakang sejak beratus-ratus tahun dulu. Apabila datang penjajah dan orang Cina handicap orang Melayu bertambah. Sekiranya orang Melayu tidak dibantu mereka akan hilang keyakinan dan tidak percayakan diri sendiri. Dalam minda mereka akan sentiasa merasakan tempat mereka hanya di bawah daripada orang lain. Kita menerima ini sebagai isu nasional. Adakah keterlaluan kita mengharapkan orang bukan Melayu sama-sama menggerakkan agenda ini? UNGKU AZIZ: Ini memang isu nasional tetapi kepada saya, hanya orang Melayu saja yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain melakukannya untuk kita. Ini terpulang kepada orang Melayu sendiri. Apa akan jadi sekiranya masalah-masalah ini tidak dapat ditangani dan persepsi orang Melayu tidak dapat diubah dalam masa lima tahun akan datang? UNGKU AZIZ: Kalau tidak berubah akhirnya orang Melayu akan tertimbus oleh kuasa lain, dalam kes ini orang Cina yang akan menelan segala-galanya. Apa yang saya suarakan ini adalah masalah-masalah utama orang Melayu. Kalau kita dapat selesaikan masalah ini, saya percaya kita boleh melihat kesan perubahan yang cukup besar di kalangan orang Melayu. Apakah kekuatan yang ada untuk kita melakukan perubahan ini? UNGKU AZIZ: Alhamdulillah, penyelenggaraan kewangan negara sekarang tegap, tetap dan teguh. Ini memberikan keyakinan kepada seluruh rakyat. Saya tidak hendak memberikan gambaran bahawa semuanya tidak kena dengan orang Melayu, tidak semuanya negatif. Kedudukan ekonomi negara adalah sesuatu yang positif. Kalau dibandingkan dengan keadaan serantau dan dunia, keadaan ekonomi negara ini agak stabil. Tetapi dalam pada itu kita harus juga berhati-hati dengan cabaran dan persaingan serta keadaan ekonomi kuasa-kuasa besar. Kita harus selalu ingat di mana gajah menari, di situ kancil harus berhati-hati. Cicakz... kemudi di tangan, arah layar tentu sendiri. Bangkit atau tidur, jangkaukan minda. Posted by alangz at 8/29/2005 5:12:50 pm Make a comment
|
![]()
![]()
![]()
Pian Nurul Aini Norlida Saiful
Bro Joe Bangla Ija @ Shj Delinn Tgazfa Sempoii AuntyN Aunty Yan Mak Andeh Rojak Buoh Jokontan Po Budak Istana Royce Sangkelu Ima Bilal Coco Srikandi Aecoque Anne MM Puteri Xmen Angah Cekedess Kusyi Hirdan Elf Pulut Bakar Zure Nini Yummy Lord Budak Kyora IV Tuan Alang Deo DiZai Aini Malim Kundang Kawejauh Temp Zaiti Nek Rock Dobot Xydee Jijo Blur Pzo
Isu Hangat Fuiyoh Mat Jan Tok Rimau Kisah Ayah & anak
Ms D' Batu Api Sultan Muzaffar Nizam Zakaria @ limau nipis Fathi Aris Omar Afzan Situs Digital Ideal Badrulaftersix Kemunting Tipahvogue Frappe Javardkent Ahsuez Wakdojer Anak Dagang NBN Arena Red Kebaya Tuan Tanah
Pengurusan Kewangan Aura Seri Maybank2U Bluehyppo Cari Utusan Berita Harian Harian Metro NEAC Irfan Khairi Pelbagai Resepi Masakan Resepi Diana Imnogman Lirik Lagu Dengar lagu Pindahturun lagu Wikipedia Sell Online Currency Converter E-Aduan KPDNP Savvy Owner Club
Activemeter Web template Tagboard Blogthings Kena block chat? pakai Meebo
Change Share Video CT Online Flickr Kad Kahwin Jaki on line Melayu Blog Tanah Melayu Sejarah Melayu
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||