|
Iklan sebentar Pertanyaan demi pertanyaan mengenai mengapa Alangz menggunakan maskot cicakz dalam blog ini lagi kedengaran. Kepada pengunjung baru... Alangz siarkan semula artikel yang ditulis dahulu (Julai 2004 & March 2005). Alangz copy & paste semula artikel ini. Cicak?... kenapa pakai gelaran cicak?…
Banyak sungguh persoalan yang diajukan oleh rakan-rakan aku dengan watak samaran yang aku gunakan ini. Hari ini aku akan berkongsi pendapat dan pandangan aku mengenai isu ini. Boleh dikatakan rata-rata dikalangan kita tidak suka akan binatang yang dinamakan cicak ini. Sebenarnya pemilihan ini ada kaitan dengan penilaian aku mengenai sifat cicak. Aku pernah terbaca mengenai kejahatan yang dilakukan oleh cicak ini di zaman Rasul dahulu menyebabkan umat Islam digalakkan membunuh cicak-cicak ini. (Aku naďf.. kalau ada kalangan pembaca yang tahu cerita sebenarnya, kongsilah bersama ilmu itu)… Sebenarnya sikap cicak itu sendiri cukup unik bagi aku. Ini adalah kerana ia bersifat pendiam; pemerhati dan jarang sekali kita menyedari kehadirannya di syiling /dinding rumah kita. Itulah aku umpamakan diri aku. Aku berada dalam komuniti yang besar di mana aku tidak tahu saluran apa yang aku perlu tuju untuk melafazkan persoalan yang timbul di minda aku. Walaupun aku bersikap peka dengan keadaan yang berlaku di persekitaran kita. Dengan kehadiran cicak, tanpa kita sedari banyak unggas dan pepijat dalam rumah menjadi mangsa makanan cicak dan sekaligus menyebabkan kita bebas dari gangguan mahluk kecil itu. Begitu juga perumpamaan aku. Dalam aku membuat kritikan, niat aku cuba untuk menyedarkan pembaca terutama orang MELAYU agar jangan mudah alpa dengan keselesaan yang ada di sekeliling kerana jika cicak kekenyangan, ia akan pulang ke tempat persembunyian dan membiarkan gangguan unggas membelenggu pemilik rumah. Begitu juga dengan orang Melayu, bila unggas mula menganggu baru hendak ke kedai mencari racun semburan. Itu sudah terlambat sayang…. Unggas sudah menguasai rumah. Kalau-kalau kedai tutup, malang sungguh nasib kalian; tidur dengan gangguan unggas ini. Cicak tidak diajar membuang air besar di dalam tandas. Jadi, selalunya ia akan 'melepaskan' niat tidak kira di mana sahaja. Perumpamaan yang aku ambil ialah aku akan berkata apa sahaja yang aku rasakan perlu dan selalunya perkara ini mengenai batang hidung aku sendiri terutama isu kaum Melayu. Itulah realitinya. Tahi cicak yang jatuh di atas orang yang punyai air sembahyang akan membatalkan wudhu' seseorang itu; menyebabkan orang itu marah dan cuba untuk memburu cicak itu dengan 'lastik' atau paling tidak semburan kata-kata maki muncul di mulut orang itu. Perumpamaan yang dikaitkan… kadang-kadang isu yang aku bangkitkan aku tujukan tepat kepada orang yang berkenaan walaupun aku tahu risiko yang bakal aku terima terutama yang aku kutuk itu orang berkuasa. Hakikatnya, aku berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Pak Ungku Aziz; Pendeta Zaa'ba juga sudah banyak kali melafazkan kata-kata sinis untuk menyedarkan melayu daripada terus alpa dengan arus kemewahan tanpa memikirkan risikonya. Tun Dr Mahathir Mohammad juga pernah dikritik hebat oleh orang melayu hasil ucapan beliau yang dibukukan 'Melayu Mudah Lupa'. Aku amat berharap dengan adanya ruangan di alam siber ini, sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak menyedarkan kaum-kaum muda melayu sekarang untuk membuka minda mereka dan menjaga kepentingan hasil peninggalan nenek moyang kita. Terbongkar sudah identiti sebenar cicak... harap mendapat restu dari pembaca untuk terus berlegar dan mencari mangsa di dalam ruang blog/ jurnal ini… Moga anda mengerti dan tiada lagi persoalan kenapa cicakz digunakan. |
| Leave a Comment: |